Benarlah kata Tun Dr Mahathir. Sukar menilai seseorang sebelum dan selepas dapat kuasa. Bagi kami fenomena itu turut mengena dengan organisasi kerana ia juga dipengaruhi oleh mentaliti, sikap dan kerjabuat individu yang memacu organisasi itu.
Atuk Javani, 60 seorang warga emas persara buruh kerajaan adalah salah seorang sukarelawan kami. Beliau telah mengusahakan kebun sayur kecil-kecilan sejak 5 tahun lalu. Di samping untuk makanan keluarga sendiri dan jiran-jiran di sekitar RUMAH MURAH itu, dia juga sering sumbangkan sayuran kepada tempat yang memerlukan termasuk di Prihatin. Ini dapat juga mengurangkan belanja sayur untuk keperluan 230 penghuni RPWP yang bernilai sekitar RM30,000 sebulan sekarang ini.
Muktahir ni dia terlalu sugul memikirkan setor dan kebun sayurnya di Serdang Jaya yang dimusnahkan Penguasa. Alangkah sedihnya kami mendengar kisah yang menimpa beliau dan penduduk di situ akibat kekotoran politik dan kerakusan kuasa manusia.
Kisahnya bermula pada bulan lepas di mana penduduk dikejutkan dengan notis pendek untuk mengosongkan semua struktur binaan dan kebun-kebun sayur mereka oleh pihak MPSJ. Kononnya mereka mahu membuat kolam tadahan banjir di bawah pencawang TNB, tanah kosong yang menjadi tapak penduduk bercucuk tanam di tepi rumah masing-masing.
Kerana notis yang singkat, maka penduduk bermuafakat mengadakan mesyuarat untuk bernegosiasi dengan pihak Majlis Daerah dan PBT. Akhirnya DO berjanji untuk menangguhkan beberapa hari bagi memberi peluang kepada penduduk merobohkan sendiri binaan di belakang rumah mereka itu dan mengambil semua hartabenda milik mereka.
Alangkah sedihnya apabila tanpa notis, pihak penguatkuasa tiba-tiba datang beberapa hari lebih awal dari hari yang dijanjikan. Habis semua binaan dan harta benda penduduk yang ‘belum sempat’ di pindahkan dimusnahkan dengan jentera mereka. Lebih menyedihkan ada binaan yang tidak berkenaan turut dirobohkan ikut suka.
Penduduk hanya mampu melihat dan bertempik marah. Yang lemah semangat hanya terduduk menutup muka mengeluh dengan juraian air mata. Mangsa yang kebanyakannya warga emas dari kalangan pesara buruh di MARDI dan UPM terlalu sedih melihat harta benda yang mereka kumpul berdikit-dikit itu dimusnahkan dengan kejam dalam sekelip mata.
Lebih menyakitkan hati apabila ada tempat ‘tertentu’ milik orang ‘berduit’ tidak pula diberi notis untuk dirobohkan. Antaranya car wash, nurseri, kolam ikan, kedai hardware dan pusat pemindahan diesel. Barangkali mereka ada membayar ‘cukai tambahan’, sebab itu tidak diusik. Wallahuallam !!
Penduduk rumah murah yang menjadi mangsa adalah golongan pesara yang hanya bercucuk tanam bagi meringankan beban hidup. Selama ini penduduk beranggapan mereka hanya memanfaatkan tanah kosong tanpa melanggar peraturan yang ditetapkan oleh pihak TNB. Secara tidak langsung tanah ini tidak menjadi belukar sehinggakan pihak TNB tidak perlu menghantar kontraktor pembersihan.
http://prihatin.net.my/blog/2015/04/29/penduduk-bantah-bina-kolam-tadahan-air/
PROJEK YANG TIDAK MASUK AKAL
Arahan meroboh ini mencetus kemusykilan penduduk terhadap kewajaran projek itu sehingga terpaksa merobohkan semua yang mereka usahakan sekian lama. Penduduk mempersoalkan bagaimana kolam tadahan banjir boleh dibina di bawah pencawang yang bervoltan tinggi?
Sukar untuk diterima akal tetapi itulah hakikatnya. Projek yang dikatakan bertujuan untuk menyelesaikan masalah banjir itu sebenarnya tidak masuk akal. Sebaliknya ia malah boleh mengundang banjir yang lebih besar kerana benteng tinggi dari kolam takungan yang dibina itu akan menghalang air banjir mengalir masuk ke parit besar yang dibina sekiranya berlaku banjir kelak (merujuk dari plan yang dibentangkan dalam mesyuarat 24 april 2015).
Apabila wakil penduduk mempertikaikan keberkesanan projek itu, jawapan yang diberikan oleh jurutera daerah yang berpangkat IR ialah ' takpa kita cuba dulu'. Ini bermakna projek ini seperti ‘try and error’ pula.
PERANAN KAPITALIS ZALIM PENGKHIANAT MASYARAKAT
Selaku penduduk asal di situ pastinya mereka lebih arif dengan keadaan banjir dan lebih tahu apakan punca yang menyebabkan banjir berlaku selama ini. Hampir 31 tahun penduduk bersama dalam suasana harmoni. Kini mereka tidak lagi rasai suasana itu apabila datang ‘pihak tertentu’ mengaku hero pembela rakyat. Konon ingin membawa rahmat pembangunan dan berjanji akan mengurus masalah penduduk.
Selepas beberapa bulan menyepi, tanpa perbincangan tiba-tiba penduduk diberi notis dan mereka terus merobahkan binaan dan melanyak kebun yang diusahakan oleh penduduk miskin di rumah murah itu.
Sumber lain mengatakan kononnya telah ada mesyuarat dan taklimat oleh ‘pihak tertentu’ sebelum notis dikeluarkan namun tidak dimaklumkan kepada penduduk yang TERLIBAT. Lebih kejam lagi apabila rayuan penduduk untuk dipanjangkan tempoh notis ditidak diperduli.
Akibatnya mereka yang uzur dan tiada wang mengupah orang lain tidak dapat memindahkan apa yang ada dengan sempurna. Hari itu, mereka hanya mampu melihat jentera-jentera meratah stor dan melanyak kebun mereka.
Pihak berkenaan mengatakan kononnya mereka telah mendapat tandatangan penduduk yang terlibat. Punduduk menafikannya kerana setelah disemak senarai tandatangan, terdapat nama-nama asing yang ‘tidak wujud’ turut menandatanganinya. Ada juga tandatangan orang yang sudah meninggal dunia.
INILAH PENIPUAN YANG NYATA. Mereka seolah-oleh terdesak untuk melaksanakan projek dengan segera walaupon belum mendapat kelulusan dari pihak TNB (tuan tanah) ketika itu. Alangkah baiknya jika ada peguam yang sudi membantu golongan yang tertindas ini.
Sebenarnya penduduk ada idea tersendiri kerana mereka lebih tahu masalah di tempat mereka. Kerana itu mereka ada membawa kertas cadangan untuk diperhalusi. Penduduk optimis sekiranya cadangan itu diambil kira, insyaAllah masalah boleh diatasi tanpa menggunakan peruntukan yang besar seperti pelan kolam tadahan banjir itu. Peruntukan itu nanti bolehlah disalurkan ke tempat yang lebih memerlukan.
MENANG SORAK KAMPUNG TERGADAI
Itulah hakikat yang dinyatakan Atuk Javani dan itulah yang sedang orang kita selalu lakukan. Kenyataan pedih perlu dihadapi walau pun akan melihat kampung sendiri tergadai dari sudut ekosistem atau sosio-ekonomi penduduknya. Kerana terlalu mengejar nama dan laba, banyak gedung mewah didirikan hingga usahawan kita kian tertindas.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Mendengar cerita insan budiman yang amat ringan tulang ini, dapat dirasai aura kekecewaannya yang amat besar. Dia juga membawa suara insan lain yang senasib dengannya untuk diangkat naik ke langit (orang atasan).
Tambahnya lagi, apalah yang kami mampu buat melainkan merayu. Yang berdarah panas mampu juga bertempik memaki hamun penguatkuasa buat meluah ketidakpuasan hati. Itu hanya mampu menampakkan bantahan tegas bahawa ada yang tertindas oleh tindakan itu. Mereka tidak rela diperbodohkan seperti binatang dengan hanya berdiam diri dan memeluk tubuh. Namun, ibarat timun melawan durian, hujungnya semua sia-sia.
“Bukan rakyat menolak pembangunan tetapi jika pembagunan yang dilaksanakan berbau hanyir politik, pasti rakyat tidak redho. Pemerintah terikat dengan amanah rakyat. Mereka dilantik oleh rakyat. Kepada rakyat jugalah mereka perlu merujuk dan berbakti”, kata beliau kepada kami.
Wajarlah penduduk Serdang Jaya marah kerana mereka sudah terkena berkali-kali. Sebelum ini pasar basah (ayam dan sayur) orang melayu di Seri Serdang dirobohkan. Pasar itu dipindahkan ke tempat lain yang langsung tidak strategik. Akibatnya satu demi satu peniaga Melayu gulung tikar. Lebih malang tapak yang dirobohkan tadi terbiar sampai sekarang menjadi semak yang tidak terurus.
Penduduk juga membantah Projek Mutiara Serdang kerana ia dibina di atas tapak logi kumbahan najis. Inilah salah satu dari punca banjir di situ.
Persoalannya di mana perginya najis-najis kumbahan yang di alirkan? Jika logi sebesar itu ditutup bagaimana pula najis yang sediaada termendak dalam logi dipindahkkan? Bagaimana semudah itu status logi kumbahan diluluskan menjadi bangunan komersial? Siapa yang meluluskan? Sehingga hari ini ia masih belum mendapat CF untuk diduduki kerana di bawah bangunan itu ditakungi air. Ini semua adalah satu kebodohan yang nyata.
KESIMPULAN
Atas dasar perikemanusiaan, kami aturkan team untuk membantu menyelamatkan apa yang boleh. Sedih melihat rakaman kerjabuat penguatkuasa. Kasihan warga emas yang berdikit-dikit mengumpul dana buat membeli zing dan kayu, pasir, simen dan batu, terbongkok-bongkok menanam apa yang perlu. Akhirnya semuanya dimusnahkan dengan rakus oleh penguatkuasa di depan mata. Anak-anak pun menangis melihat ‘gelagat bongkak penguasa’.
Penduduk sudah jemu diperbodohkan dengan alasan projek pembangunan yang nampak gah, tetapi hakikatnya ia tidak memberi manfaat kepada masyarakat setempat. Sebaliknya, ia lebih mengutamakan kepentingan ‘individu dan golongan tertentu’. Peduli apa dengan marhaen yang susah.
Apa yang disaksikan adalah gambaran ketidakseimbangan sosioekonomi di dalam sesebuah komuniti. Itu belum lagi projek gajah putih yang terlalu banyak akibat kepincangan pengurusan. Akhirnya rakyat yang menjadi mangsa. Yang tua lagi susah hidupnya semakin ditindas sewenang-wenangnya.
Pelajaran besar dari kisah ini sama dengan apa yang Tun mahathir kata. Baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang sama saja. Hari-hari kita lihat kerakusan penguasa di KL, di Penang dan di mana-mana. Sebelum dapat kuasa semuanya manis-manis belaka. Setelah dapat kuasa kesusahan dan rayuan rakyat hanya dipandang sebelah mata.
Semuga luahan ini mampu membuka mata seluruh jentera kerajaan baik pusat mahupun negeri. Ada yang atasannya baik seperti YAB Tok Mat, MB Negeri Sembilan (bertimbang rasa terhadap penjaja), namun pegawai bawahannya pula yang lebih sudu dari kuah. Ada yang orang bawah baik, orang atas pula beri arahan yang zalim!!
Situasi ini tidak akan berubah tanpa kita semua saling nasihat menasihati dengan kebenaran dan dengan kesabaran. Sesungguhnya jihad paling besar di akhir zaman ialah menasihati penguasa yang ZALIM.
WARGA PRIHATIN
No comments:
Post a Comment